Subscribe

Fadhilat Berbekam

Dicatat oleh keluargaku-usrati on Khamis, 16 April 2009

Oleh : Hidayat9832 http://hidayat9832.blogspot.com/2009/04/fadhilat-berbekam.html

4/15/2009 11:10:00 PM Fadhilat Berbekam

Bekam atau bahasa Arabnya disebut hijamah bererti mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada bahagian kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu. (Kamus Dewan: 124)

Hukum Berbekam

Perubatan dengan menggunakan kaedah bekam adalah disunatkan dalam Islam malahan ia merupakan di antara sebaik-baik cara perubatan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa buah hadis yang di antaranya sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:
"Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam" (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :
"Kiranya ada suatu perubatan yang lebih baik bagi kamu, maka itulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesan Berbekam Dalam Taharah
Mengikut mazhab As-Syafie, berbekam itu tidak membatalkan wudhu. Sebagaimana dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan yang ertinya :
"Tidak perlu berwudhu (tidak batal wudhu) kerana muntah, darah yang keluar dari hidung, berbekam, sesuatu yang keluar daripada badan dan sesuatu yang dikeluarkan daripada jasad selain daripada tiga lubang iaitu qubul, dubur dan zakar. (Al-Umm: 1/14)
Oleh itu, sesiapa yang berubat dengan menggunakan bekam dalam keadaannya berwudhu, maka tidaklah batal wudhunya atau berbekam itu tidak membatalkan wudhu.




Kesan Berbekam Dalam Puasa
Apabila seseorang itu berbekam di siang Ramadhan ataupun puasa sunat adalah dibolehkan dan tidak membatalkan puasa tersebut. Kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam ketika Baginda sedang berpuasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya :
"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam padahal Baginda sedang berpuasa"
(Hadis riwayat Bukhari)

Kesan Berbekam Dalam Ihram
Mengikut pendapat Imam As-Syafie, Ashab dan jumhur ulama adalah harus bagi seseorang yang sedang berihram itu berbekam dan tidak dikenakan ke atasnya fidyah, selagi dia tidak memotong rambutnya. (Majmuk: 7/377) Sebagaimana di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Buhainah Radiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya :
"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berbekam di tengah-tengah kepala Baginda di Lahyu Jamal (tempat antara Mekkah dan Madinah) padahal Baginda sedang berihram."
(Hadis riwayat Bukhari)
Jika sekiranya seseorang yang sedang berihram itu hendak berbekam dan terpaksa memotong rambutnya, maka hendaklah dia membayar fidyah disebabkan memotong rambutnya itu.
Menurut Imam An-Nawawi dalam hal ini, jika seseorang yang sedang berihram itu berbekam tanpa tujuan atau hajat lalu terpotong rambutnya maka haram hukumnya. Akan tetapi jika tidak terpotong rambut maka itu diharuskan. (Mausu‘ah Feqhiyah: 17/17)


Berbekam Sebagai Pekerjaan

Pendapat jumhur fuqaha termasuk mazhab Syafie, adalah diharuskan bagi seseorang itu menjadikan hijamah (bekam) sebagai satu pekerjaan dan mengambil hasil daripadanya. Kerana berbekam itu perbuatan yang bermanfaat, mubah (harus) dan orang ramai memerlukannya, maka diharuskan mengambil upah seperti pekerjaan menjahit dan sebagainya. (Mausu‘ah feqhiah: 17/18)
Mereka berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:
"Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam pernah berbekam dan Baginda memberi (upah) kepada orang yang membekamnya itu, seandainya hal itu haram, nescaya Baginda tidak memberinya."
(Hadis riwayat Bukhari)



Faedah berbekam

Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : “Hendaklah kalian berbekam pada tengah qomahduah kerana dapat menyembuhkan 72 penyakit”.

1) Melancarkan darah dan menguatkan sistem saraf dalam badan.
2) Mengaktifkan peranan sel darah putih
3) Memberi keselesaan dan kesegaran badan.
4) Membasmi kuman dan bacteria daripada merebak dan berjangkit semula.
5) Mengaktifkan saluran pernafasan,pergerakan,percakapan,pendengaran dan sel otak.
6) Menambah kekuatan otot
7) Mengaimbangi daya tahan badan.
8) Membuang darah kotor dan bertoksik yang menyebabkan penyakit.
9) Mengeluarkan angin yang mengganggu sistem badan dan sebagainya

Bila Waktu Sesuai untuk Berbekam



Tarikh : 17, 19 dan 21 dalam takwim Hijrah,
sebagaimana didalam beberapa buah Hadis diantaranya : diriwayatkan Tirmidzi , Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : Sebaik-baik kalian melakukan bekam adalah pada hari 17,19 dan 21.
Hari : sebaiknya hari Isnin.
Dilarang melakukan pada hari Rabu dan Sabtu (Rujukan Kitab Jamiáh), menurut riwayat lain hari tersebut boleh menyebabkan terkena keputihan dan belang pada kulit . Namun terdapat sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “pada hari Jumaat ada waktu yang jika seseorang untuk melakukan bekam boleh mengakibatkan kematian”. Menurut Abu Dawud dalam Kitab Sunannya makruh hukumnya berbekam hari selasa kerana merujuk kepada Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam: ”Hari Selasa adalah hari dimana darah tidak mengalir”.
Masa : Jam dua dan tiga siang dilakukan setelah mandi (Rujukan Kitab Qanun Fi Thib)
Keadaan Diri : Dilarang ketika kenyang.

0 ulasan: